Jumaat, 31 Oktober 2008

SERAGAM SKIM KAKITANGAN IPTA

Petikan dari Utusan Malaysia
Oleh ZAINI RABAN
31/10/2008



TANJUNG MALIM 31 Okt. - Kementerian Pengajian Tinggi diminta mewujudkan Skim Perkhidmatan Awam Kakitangan Universiti bagi menjamin kebajikan kira-kira 100,000 petugas di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman (gambar) berkata, sudah tiba masanya skim itu diwujudkan kerana buat masa ini kakitangan terbabit tidak mempunyai skim perkhidmatan yang seragam.
''Jumlah kakitangan sokongan, pentadbir dan ahli akademik di IPTA amat ramai dan mereka sepatutnya mempunyai skim perkhidmatan seragam, tambahan pula mereka kini diletakkan terus di bawah kementerian itu.
''Buat masa ini, berlaku ketidaksamaan dalam hak pekerja bagi setiap IPTA, malah kalau hendak bertukar daripada sesebuah universiti pun susah sebab akan menjejaskan jumlah cuti dan gaji mereka, jadi ini tidak adil," katanya di sini hari ini.
Daripada kira-kira 100,000 kakitangan IPTA, 45,000 daripadanya adalah kakitangan sokongan, 15,000 pegawai pentadbir dan lebih kurang 35,000 ahli akademik.
Omar yang juga Presiden Gabungan Kesatuan Kakitangan Universiti-Universiti Malaysia (Gakum) berkata, setiap kakitangan IPTA sepatutnya mempunyai hak untuk bertukar lokasi sama seperti yang dinikmati oleh guru-guru.
Katanya, perkara itu sangat penting kerana sebahagian kakitangan IPTA termasuk pensyarah terpaksa berkorban dan tinggal berjauhan dengan keluarga kerana tidak boleh bertukar universiti.
''Mereka terpaksa tinggal berjauhan kerana isteri yang bekerja IPTA di Johor tidak akan dapat bertukar ke IPTA di Kuala Lumpur kerana ia akan menjejaskan banyak perkara kerana skim perkhidmatan IPTA ini tidak seragam.
''Masalah kenaikan pangkat kakitangan universiti juga boleh diselesaikan jika ada terma dan syarat perkhidmatan yang seragam bagi semua IPTA," katanya.
Omar berkata, pada masa sama, pihaknya juga mahu kakitangan akademik dan sokongan di empat buah universiti penyelidikan diberi elaun khas antara RM500 hingga RM1,000 sebulan.
Jelas beliau, pemberian elaun itu adalah wajar kerana beban tugas mereka di universiti terbabit iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) sudah bertambah.
''Kerja-kerja penyelidikan ini amat berat dan memerlukan kerja secara berpasukan, kalau buat penyelidikan secara berseorangan ia tidak akan berjaya. Jadi sebab itulah semua kakitangan yang terlibat wajar diberi insentif khas," katanya.

Tiada ulasan: