Isnin, 1 Januari 2001

GAKUM CADANG TUNTUT TUNGGAKAN

Petikan Utusan Malaysia
2/5/1998

Universiti Malaya (UM) muncul universiti awam pertama dikorporatkan pada 1 Januari lalu.
Menyusul ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) pada 15 Mac.
Pengurusan Institut Teknologi Mara (ITM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) dikorporatkan 1 April lalu.
Pengerusi Gabungan Kesatuan Kakitangan Am Universiti/IPTA (GAKUM), Omar Osman berkata keputusan membuat tuntutan itu dicapai pada mesyuarat GAKUM pada 18 dan 19 April lalu di Universiti Sains Malaysia (USM).
Pada mesyuarat itu, presiden dan setiausaha agung Persatuan Kakitangan Am dari lapan buah IPTA bersetuju membuat tuntutan dan bayaran hendaklah dibuat apabila ekonomi negara pulih.
Omar berkata, persetujuan dicapai berdasarkan faktor kakitangan am IPTA terpaksa memikul tambahan beban kerja ekoran pertambahan pengambilan pelajar baru, kursus baru, pembekuan jawatan kosong dan persaraan kakitangan.
''Walaupun kakitangan am IPTA masih terikat dengan Skim Saraan Baru (SSB), mereka berhak mendapat tunggakan gaji mengikut skim universiti masing-masing,'' katanya di Serdang, Selangor baru-baru ini.
Beliau memberi contoh, kakitangan am UM masih terikat pada SSB sedangkan universiti itu sudah dikorporatkan pada 1 Januari lalu.
''Kakitangan am UM layak menikmati gaji baru mengikut skim pilihan masing-masing.
Sungguhpun pilihan Skim Saraan UM (SSUM) dibatalkan berikutan kegawatan ekonomi, mereka berhak menikmati tunggakan gaji bermula 1 Januari lalu,'' ujarnya.
Beliau menegaskan, mereka berhak mendapat tunggakkan itu kerana sebaik sahaja universiti dikorporatkan, mereka terpaksa melakukan tugas-tugas tambahan bagi memenuhi dan menjayakan misi 'universiti korporat'.
Omar menegaskan kakitangan di semua universiti berkenaan juga layak menerima tunggakan gaji mengikut skim saraan baru universiti masing-masing.
Mengulas lanjut resolusi mesyuarat itu, katanya GAKUM juga menuntut pihak universiti/IPTA mengkaji semula skim gaji jawatan Pembantu Am Rendah (PAR) masing-masing.
Mengikut skim gaji sekarang, PAR menikmati skim gaji N13 P1 - 325 - 641 berbanding jawatan yang telah dibekukan ke dalam SSB iaitu N11 P1 - 362 - 787.
''GAKUM meminta skim gaji PAR dipindahkan kepada skim gaji jawatan yang telah dibekukan ke dalam SSB kerana kebanyakan tugas-tugas berkenaan dilakukan PAR,'' katanya.
Beliau juga memberi contoh, berikutan pembekuan jawatan kosong dan persaraan kakitangan, PAR Makmal terpaksa memikul tugas Pembantu Makmal Rendah yang kosong apabila pembantu berkenaan dinaikkan pangkat kepada Pembantu Makmal.
''PAR berkenaan wajar menikmati skim gaji Pembantu Makmal Rendah,'' katanya.
Selain itu, GAKUM meminta universiti/IPTA mengetatkan syarat pemilihan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) untuk program francais pengajian universiti/IPTA.
''Syarat lebih ketat perlu kerana ada IPTS mengenakan yuran program pengajian francais terlalu tinggi sehingga lebih RM4,000 satu semester.
''Ini membimbangkan GAKUM kerana kebanyakan pelajar luar bandar yang gagal masuk ke IPTA diminta mengikuti program francais di IPTS berdekatan rumah masing-masing.
''GAKUM bimbang kerana ibu bapa di luar bandar tidak mampu menyediakan yuran sebegitu tinggi.
''Selain itu, syarat lebih ketat perlu bagi menjaga kualiti dan mutu pendidikan serta tahap kecemerlangan ilmu di IPTA,'' katanya.
Oleh: ROHANA MAN

SYOR 60 TAHUN UMUR BERSARA KAKITANGAN IPTA

Petikan Utusan Malaysia 31/3/1999

GABUNGAN Mesyuarat Presiden dan Setiausaha Kehormat Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia (Gakum) menyokong saranan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk melanjutkan umur persaraan kepada 58 tahun. Pengerusinya, Omar Osman berkata, di kalangan kakitangan akademik peringkat universiti seperti pensyarah dan kakitangan kumpulan sokongan, peringkat umur bersara boleh dilanjutkan sehingga 60 tahun. "Jika dibandingkan dengan pensyarah atau pakar yang dipinjam dari luar negara, kebanyakannya adalah berumur lebih 55 tahun. "Mereka masih mampu datang ke negara kita untuk membantu proses pengajaran, penyelidikan dan sebagainya yang tidak terdapat di sini,'' katanya ketika ditemui di Serdang, Selangor baru-baru ini. Saranan berkenaan merupakan persetujuan bersama yang disepakati oleh kesemua anggota Gakum yang mewakili lapan IPTA pada mesyuarat yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini. Menurutnya, melanjutkan umur persaraan di peringkat tersebut adalah penting memandangkan ramai di kalangan pegawai universiti yang mempunyai kepakaran tertentu dan masih mampu menjalankan tugas harian seperti biasa. "Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk menghantar mereka berkursus di dalam kemahiran-kemahiran yang diperlukan di luar negara untuk tempoh tertentu. "Rugi rasanya jika mereka tidak berkesempatan mencurahkan ilmu dan kepakaran yang diperoleh untuk jangka masa yang lebih lama kerana bersara di usia yang masih boleh dianggap muda,'' katanya. Sementara itu, katanya, ada sesetengah pensyarah yang dianugerahi pangkat profesor ketika berumur 50 tahun dan dengan itu hanya ada masa lima tahun sahaja lagi untuk mencurahkan idea-idea yang setaraf dengan kedudukannya. "Apabila golongan berkenaan telah bersara, maka kekosongan jawatan tersebut perlu diisi oleh muka-muka baru yang mungkin masih perlu banyak belajar sebelum betul-betul ahli di dalam bidang-bidang berkaitan,'' katanya.