Khamis, 19 September 2019

Kesatuan kakitangan am universiti awam bantah UMT, UniSZA gabung

 Sinar Harian
19 September 2019


SERDANG - Kerajaan seharusnya menambah bilangan universiti yang ada di negara ini bagi menampung keperluan pendidikan rakyat dan bukan bertindak sebaliknya dengan menggabungkan universiti sedia ada, kata Presiden Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (GAKUM), Zulkifli Mohamad.


Menurutnya, sebanyak 20 kesatuan kakitangan am universiti awam di negara ini tidak bersetuju cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan meminta kerajaan mengkaji semula tentang perkara itu.

Beliau turut mendakwa GAKUM juga tidak dimaklumkan berkenaan cadangan tersebut sebelum persetujuan dicapai secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada 4 September lepas.

"Pihak kesatuan khususnya di peringkat dua universiti terbabit dan GAKUM sebagai kumpulan pelaksana juga tidak dipanggil di peringkat awal perbincangan mengenai penggabungan tersebut.

"Tiba-tiba keluar (berita) dalam surat khabar tentang hal ini dan ia begitu mengejutkan.

"Perkara ini sangat besar kerana melibatkan pendidikan di negara kita...ini tidak adil namanya sedangkan membangunkan universiti kena bersama yang melibatkan peringkat atas dan bawah," katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas GAKUM yang dihadiri 20 kesatuan universiti awam antaranya Kesatuan Kakitangan Sokongan Satu International Islamic University Malaysia (IIUM), di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Zulkifli yang juga Presiden Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara itu berkata, satu deklarasi atau petisyen akan ditandatangani oleh 20 kesatuan universiti awam termasuk Sabah dan Sarawak, untuk memohon mengadakan perjumpaan bersama Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek secepat mungkin bagi membincangkan tentang soal itu.

Pada 4 September lepas, Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip berhubung penggabungan UMT dan UniSZA yang bertujuan untuk memantapkan lagi keupayaan kedua-dua universiti itu dalam meningkatkan kedudukan sosio ekonomi selaras dengan lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

Susulan itu, beberapa pihak termasuk ribuan pelajar kedua-dua buah universiti itu menyuarakan bantahan terhadap cadangan tersebut, kerana bimbang langkah itu akan menghilangkan identiti serta membantutkan misi dan visi kedua-dua universiti berkenaan yang jelas berbeza.

Dalam perkembangan lain, GAKUM juga memohon agar kerajaan mengkaji semula cadangan pemansuhan skim tetap dan berpencen yang akan digantikan dengan skim lantikan kontrak.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah dilaporkan berkata, langkah menghentikan skim tersebut diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion. - Bernama


Khamis, 9 Mei 2019

GAKUM jalin kerjasama dengan MyCuepacsCare, tingkatkan penyertaan penjawat awam dalam takaful

 Berita Harian
9 Mei 2019


NILAI: Kurang kesedaran mengenai kepentingan memiliki perlindungan takaful di kalangan penjawat awam, menyebabkan hanya kira-kira 300,000 atau 20 peratus daripada 1.7 juta penjawat awam di negara ini yang memiliki perlindungan itu.


Melihatkan peratusan yang masih rendah itu, MyCuepacsCare dan Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Awam Malaysia (GAKUM) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU).

Presiden GAKUM, Zulkifli Mohamad, berkata MoU itu bertujuan melaksanakan program pendidikan dan kesedaran kepada kakitangan awam mengenai kepentingan memiliki perlindungan takaful.

Katanya, ketika ini terdapat seramai 300,000 ahli GAKUM dan lebih 500,000 kakitangan awam di 20 universiti awam seluruh negara.

“Dengan adanya MoU ini kita menyasarkan untuk memastikan semua ahli GAKUM dan kakitangan awam di universiti awam mempunyai takaful,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU antara MyCuepacsCare dengan GAKUM di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Zulkifli mewakili GAKUM manakala MyCuepacsCare diwakili Pengarah Urusannya, K Palanisamy.

MyCuepacsCare dilantik Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sebagai pengendali program takaful khas untuk kakitangan awam dalam mempromosikan takaful menerusi taklimat di 20 universiti awam, manakala GAKUM akan membantu mendapatkan kelulusan taklimat daripada pihak universiti.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, dengan adanya MoU itu nanti, usaha MyCuepacsCare untuk memberi penerangan kepada kakitangan awam di universiti awam menjadi lebih mudah sekali gus membuka mata mereka untuk mempunyai perlindungan itu.

“Saya juga akan membawa cadangan supaya majikan dapat membantu kakitangan mereka dari segi kebajikan dengan membantu membayarkan pelan takaful yang diambil kakitangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Palanisamy berkata, MyCuepacsCare menawarkan perlindungan takaful khas kepada kakitangan awam iaitu Takaful Penghospitalan dan Pembedahan CuepacsCare dan Program Takaful Kemalangan Diri CuepacsPA dengan bayaran serendah RM85 bagi satu keluarga dengan perlindungan sehingga RM60,000 setahun.

Katanya, perlindungan takaful yang ditawarkan itu, diwujudkan sejak tahun 1999 dan setiap tiga sehingga lima tahun akan diselaraskan mengikut keperluan semasa.

“Kita sentiasa berusaha menawarkan perlindungan serendah yang mungkin bagi memastikan kakitangan awam mampu membayar caruman setiap bulan.

“Malah kita menyasarkan untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kakitangan awam di negara ini mempunyai perlindungan takaful menjelang penghujung tahun 2020,” katanya.

Katanya, kajian oleh MyCuepacsCare mendapati kesedaran kakitangan awam untuk memiliki takaful meningkat setiap tahun tetapi oleh kerana caruman bulanan yang terlalu tinggi ramai yang tidak berkemampuan.

Oleh itu katanya, dengan adanya MoU itu pihaknya yang mempunyai seramai 600 ejen diharap mampu memberikan penerangan yang jelas mengenai kepentingan untuk memiliki perlindungan takaful.