Ahad, 2 Jun 2002

MAHIR BERBAHASA - HARI BAHASA INGGERIS DI IPTA SABTU

Petikan Utusan Malaysia
13/6/2002
GABUNGAN Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Universiti/institusi pengajian tinggi awam (IPTA) Malaysia (GAKUM) mengisytiharkan hari Sabtu bekerja setiap bulan sebagai Hari Bahasa Inggeris di semua IPTA.
Presidennya Omar Osman berkata, dengan pengisytiharan itu semua kakitangan sokongan IPTA akan diminta menggunakan bahasa tersebut sebagai bahasa komunikasi pada hari berkenaan.
``Mereka akan diminta menggunakan bahasa itu dalam sebarang urusan sama ada membabitkan pelajar mahupun sesama mereka,'' katanya kepada pemberita di Serdang baru-baru ini.
Beliau berkata, pelaksanaan itu akan dinilai sebagai kajian menentukan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan kakitangan sokongan.
``Kita akan melihat berapa peratus kakitangan kita yang benar-benar menguasai bahasa berkenaan,'' katanya.
Jika tahapnya tidak memberangsangkan beliau berkata, semua IPTA akan disaran mengadakan kursus bahasa Inggeris kepada kakitangan terlibat untuk tempoh sekali dalam seminggu.
Menurut Omar, usaha mewujudkan Hari Bahasa Inggeris itu dibuat atas kesedaran, kekuatan pengurusan sesebuah universiti banyak bergantung kepada kakitangan sokongan.
``Kelemahan dalam bahasa Inggeris mereka sedikit sebanyak menyumbang kepada kecelaruan pengurusan terutama pada masa ini yang memperlihatkan peningkatan jumlah pelajar asing di IPTA,'' katanya.
Beliau berkata, kakitangan terlibat tidak seharusnya merasa malu untuk menggunakan bahasa berkenaan kerana ia merupakan sumbangan mereka dalam mempertingkatkan imej IPTA masing-masing.
Buat permulaan, kakitangan sokongan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan melancarkan Hari Bahasa Inggeris mereka bermula 1 Julai ini.
UPM katanya, mempunyai kira-kira 800 pelajar asing dan mereka akan sentiasa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dengan warga UPM lain.
``Kakitangan sokongan ini akan berhadapan dengan pelajar-pelajar tersebut setiap masa justeru itu mereka harus menguasai bahasa Inggeris dengan baik,'' tegasnya.
UPM mempunyai kira-kira 2,000 kakitangan sokongan manakala GAKUM mempunyai sebanyak 16,000 ahli di semua IPTA di seluruh negara.
Omar berkata, pelaksanaan Hari Bahasa Inggeris itu telah dipersetujui oleh ahli-ahli GAKUM pada seminarnya yang bertema Peranan Pekerja Ke Arah Globalisasi baru-baru ini.

Jumaat, 5 April 2002

GABUNGAN KESATUAN TOLAK PELAKSANAAN KE ATAS KAKITANGAN UNIVERSITI

Petikan Utusan Malaysia
2/4/2008

SERDANG 1 April - Gabungan Kesatuan Kakitangan Universiti Awam Malaysia (Gakum) menolak pelaksanaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) ke atas kakitangan universiti awam.
Sebaliknya mereka menyarankan agar sebuah sistem penilaian baru yang tidak berlandaskan peperiksaan diperkenalkan.
Presiden Gakum yang juga Timbalan Presiden 1 Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman berkata, resolusi penolakan tersebut diputuskan pada Persidangan Gakum ke-22 yang berlangsung di Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem) pada 28 dan 29 Mac lalu.
``Gakum yang mewakili 17 Institusi Pengajian Tinggi Awam dengan keahlian berjumlah 23,000 orang di seluruh negara membuat keputusan menolak perlaksanaan PTK kerana peperiksaan tersebut belum pasti menjamin kenaikan pangkat para kakitangan.
``Peluang tersebut menjadi sukar kerana kebanyakan universiti melaksanakan dasar kuota dalam memberi kenaikan pangkat kakitangan dan PTK sebenarnya hanya satu beban tambahan,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di rumah Kesatuan Pegawai Am Universiti Putra Malaysia (Kepertama) di sini hari ini.
PTK diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2003 antara syarat anjakan gaji dan kenaikan pangkat di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Namun begitu, pada 1 Ogos lalu, Cuepacs menggesa kerajaan memansuhkan PTK kerana tidak berfungsi dengan baik dan mempunyai banyak kelemahan sehingga merugikan kakitangan awam.
Menurut Omar yang juga Presiden Kepertama, persidangan tersebut turut menyarankan agar program pembelajaran sepanjang hayat yang berpandukan kepada penganjuran kursus, seminar serta bengkel dilaksanakan bagi menggantikan PTK.
``Tahap PTK ternyata terlalu tinggi kerana pada PTK yang lepas hanya lima peratus sahaja daripada 3,000 kakitangan mendapat keputusan lulus,'' katanya.
Sementara itu, kata Omar, persidangan itu turut menyarankan pihak pentadbiran mengkaji semula skim saraan kakitangan universiti memandangkan sistem tersebut kurang berkesan dalam menjaga kebajikan kakitangan.