Selasa, 27 Oktober 2009

IPTA PERLU JELASKAN PERANAN KAKITANGAN DALAM PSPTN SEGERA

Utusan Malaysia
27/10/2009




KUALA LUMPUR 26 Okt. - Semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu memastikan kakitangan sokongan memahami peranan mereka dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) bagi memperkukuhkan sistem penyampaian Kementerian Pengajian Tinggi.
Ini kerana sejak pelaksanaan PSPTN pada 2007, terdapat ramai lagi kakitangan sokongan di IPTA yang tidak mengetahui atau faham mengenai peranan masing- masing dalam dasar itu.
Pengarah Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik, Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Madya Dr. Zarida Hambali (gambar) berkata, kegagalan tersebut boleh menjejaskan matlamat untuk melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti.
''Pada Disember ini, kakitangan jabatan serta Kementerian Pengajian Tinggi akan melawat ke semua IPTA bagi membuat audit mengenai PSPTN.
''Tetapi, saya juga suka mengingatkan kakitangan sokongan di IPTA supaya 'mencari' sendiri peranan masing-masing dalam PSPTN," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Kepimpinan anjuran Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/IPTA Malaysia (Gakum) di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya Zarida menjelaskan, dasar PSPTN kini berada dalam peringkat pertama iaitu Fasa Peletakan Asas sehingga 2010.
Katanya, dasar yang dirangka sehingga 2010 itu bertujuan mempertingkatkan tahap pendidikan tinggi di negara ini supaya selari dengan negara maju.
''Justeru, adalah sesuatu yang merugikan sekiranya kakitangan sokongan di IPTA gagal memahami fungsi masing-masing walaupun fasa peletakan asas PSPTN ini hampir berakhir," jelasnya.
Peringkat-peringkat lain dalam PSPTN pula adalah Fasa 2-Peningkatan dan Pemerkasaan (2011-2015); Fasa 3-Kecemerlangan (2016-2020) dan Fasa 4-Kegemilangan dan Kelestarian (selepas 2020).

Isnin, 26 Oktober 2009

KERJASAMA KOLEKTIF PERKASAKAN IPT

Utusan Malaysia
Oleh MOHD. KHUZAIRI
ISMAILrencana@utusan.com.my
26/10/2009




UMUMNYA dalam memperkatakan tentang kualiti sesebuah universiti atau institusi pengajian tinggi (IPT), kita sering terikat dengan penarafan yang dibuat oleh Times Higher Education Supplement (THES-QS).
Mengambil contoh kedudukan Universiti Malaya (UM), universiti tertua negara itu misalnya kini berada di kedudukan 180 terbaik di dunia dan 38 terbaik di Asia.
Bagaimanapun skop penarafan itu sebenarnya lebih menjurus kepada penilaian terhadap tenaga akademik antaranya jumlah karya ilmiah yang dihasilkan dan diterbitkan di jurnal-jurnal antarabangsa.
Hakikatnya, keunggulan sesebuah IPT juga banyak bergantung kepada kekuatan tenaga pentadbir dan kakitangan sokongan. Kedua-dua kumpulan ini menjadi tulang belakang utama kepada sesebuah IPT menerusi peranan mereka dari sudut kepimpinan, tadbir urus dan pengurusan yang berwawasan serta berkesan.
Justeru, selain daripada tenaga akademik, kumpulan pentadbir dan kakitangan sokongan ini juga perlu diberikan penekanan dalam pembangunan modal insan dengan minda kelas pertama.
Perkara ini juga selaras dengan pelan strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang telah menggariskan lima teras yang memberi fokus kepada urus tadbir, kepimpinan, ahli akademi, pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan pembangunan.
Penekanan ke arah itu juga membawa kepada berlangsungnya Persidangan Kebangsaan Pengurusan Kepimpinan bertemakan Transformasi Kepimpinan Menjulang Kualiti Pengajian Tinggi di ibu negara, bermula semalam hingga esok.
Persidangan yang julung-julung kali diadakan itu merupakan anjuran Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/ IPTA Malaysia (GAKUM) dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dan KPT.
Ia disertai oleh kakitangan penjawat awam dan kakitangan IPT khususnya di peringkat pengurusan dan profesional serta kakitangan sokongan I dan II. Persidangan ini lebih kepada sesi pembentangan dan membahaskan kertas kerja dalam bidang kepimpinan, tadbir urus, modal insan, sosioekonomi, nilai-nilai murni, pengurusan, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia.
Pada akhirnya, persidangan ini diharapkan dapat memantapkan tadbir urus dalam pengurusan dan penyampaian agar melahirkan kakitangan yang berintegriti. Ia juga mempunyai objektif untuk melahirkan generasi pemimpin yang berkualiti, holistik dalam pembangunan pengetahuan, berkemahiran, intelektual, berdaya saing dan kreatif serta inovatif.
Bagi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, semua kumpulan kakitangan perlu memainkan peranan selaras dengan bidang tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam usaha memperkasakan universiti.
Dalam era globalisasi ini juga katanya, IPT yang cemerlang boleh dikenal pasti melalui kepimpinan yang berwibawa, penjanaan budaya kreatif manakala ahli akademiknya disanjung seluruh dunia.
IPT yang cemerlang jua kerap diminta membantu dan menjadi bahan rujukan kepada pemimpin negara, pihak industri dan para intelek dunia. Justeru tambah beliau, insentif yang menarik, perundangan dasar dan tadbir urus terbaik perlu diwujudkan sebagai landasan mencapai kecemerlangan.
"Kita perlu memiliki kemahiran yang bersesuaian bagi menghadapi cabaran semasa. Tenaga kerja yang relevan adalah satu daripada cabaran terbesar yang dihadapi oleh perkhidmatan awam masa kini. Hanya dengan mengekalkan relevan ini, maka barulah dapat kita mengekalkan monopoli kita sebagai penggubal dasar, penasihat dan pelaksana dasar-dasar kerajaan dalam aspek sosial, ekonomi dan keselamatan," katanya.
Menurut Mohamed Khaled, cabaran besar warga IPT hari ini adalah untuk menukarkan cara bekerja daripada menjalankan tugas-tugas rutin kepada peranan yang lebih besar. Antaranya sebagai pekerja berilmu yang sentiasa kreatif dan inovatif dalam menangani cabaran-cabaran baru serta mampu meramal perubahan-perubahan yang bakal berlaku.
Pekerja berilmu juga berani membuat pertimbangan dan keputusan serta sanggup menghadapi risiko. Pada masa depan pula ujar beliau, IPT berdepan dengan cabaran mengekalkan tadbir urus yang baik dalam suasana yang berubah-ubah di samping menghadapi persaingan terutamanya di peringkat antarabangsa.
Selain itu, cabaran dan ancaman globalisasi ketika ini juga kian menjadi nyata. Justeru, daya saing negara perlu dipertingkatkan melalui usaha-usaha meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan integriti yang merupakan ciri-ciri utama bagi tadbir urus yang baik.
Kepimpinan transformasi katanya, merupakan satu bentuk kepimpinan yang didakwa dapat meningkatkan prestasi pekerja. Kepimpinan itu bertujuan untuk mengubah, mencipta wawasan dan membimbing pekerja kepada perubahan. Kepimpinan transformasi memberi tumpuan kepada pembangunan pekerja yang akhirnya membawa kepada peningkatan prestasi pekerja.
Justeru ujar beliau, persidangan itu adalah medan yang sesuai untuk setiap kumpulan perjawatan di IPT mentransformasikan kepemimpinan dalam diri masing-masing agar mencapai budaya kerja cemerlang bagi menjulang kualiti pengajian tinggi. Dialog berterusan dengan pihak berkepentingan khususnya pihak majikan perlu bagi mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni dan kondusif serta menambah baik sistem penyampaian.
"Komunikasi dua hala yang menekankan kepada nilai murni seperti amanah, benar, adil, telus dan bersyukur juga perlu dijadikan nilai induk kepada semua warga IPT," ujar beliau.
Dalam memantapkan kepimpinan kumpulan sokongan, pengurusan profesional, akademik dan pengurusan tertinggi juga tambah Khaled Nordin, IPT perlu membudayakan sifat profesionalisme serta intelektualisme di kalangan warganya dan menangani kerenah birokrasi dalaman.
Prosedur yang tidak relevan yang boleh menjejaskan prestasi perlu disemak semula. Ia bagi memastikan kualiti IPT tempatan setanding dengan universiti terbaik di dunia dengan membangunkan kurikulum yang relevan, mempergiatkan aktiviti penyelidikan serta mendapat perkhidmatan daripada ahli akademik yang cemerlang.

Rabu, 14 Oktober 2009