Khamis, 18 November 2010

AB RAHIM MD NOR DILANTIK KSU KPT

Berita Harian
18/11/2010




KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan, Pengurusan dan Transformasi), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Ab Rahim Md Noor, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi yang baru mulai 25 November ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, dalam satu kenyataan di sini hari ini mengumumkan pelantikan Ab Rahim itu bagi menggantikan Tan Sri Dr Zulkefli A Hassan yang akan menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi pada 24 November ini.
Ab Rahim, 53, berkelulusan Sarjana Sains Polisi dari Universiti Saitama, Jepun dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Geografi dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau memulakan perkhidmatan dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 9 Januari 1984 dan antara lain pernah menjadi Pengarah Unit ISO9000 MAMPU; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Perbadanan Putrajaya.

Mohd Sidek turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr Zulkefli atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada Perkhidmatan Awam dan negara selama 36 tahun, terutama sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi. - BERNAMA

PELUANG KENAIKAN PANGKAT KURANG

Berita Harian
17/11/2010



SUKA saya mengulas cadangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menganjurkan pendidikan sepanjang hayat ke atas seluruh warga. Dengan cara ini, keperluan guna tenaga manusia akan menjadi lebih baik, berkualiti selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjana ekonomi berpendapatan tinggi sesuai dengan keputusan peperiksaan atau sijil kelayakan profesional.

Pun begitu, di manakah pula peluang kepada mereka yang menyambung pengajian ini pada akhirnya? Suka saya memaklumkan bahawa saya antara sebahagian daripada kakitangan yang sudah berkhidmat atau bekerja dan menyambung pengajian secara separuh masa untuk meningkatkan kualiti dan mutu pendidikan saya sebelum ini.
Dengan mengambil kursus separuh masa, pelbagai dugaan dan pengorbanan terpaksa dibuat demi menggenggam sijil yang lebih tinggi bahkan yang terbaik dalam disiplin ilmu.
Tetapi sehingga kini, peluang kenaikan pangkat, atau setidak-tidaknya untuk mencari pekerjaan yang baru dan mempunyai gaji serta peluang yang lebih baik tidak semudah kata-kata.

Ada di kalangan kami tidak dapat meningkatkan kerjaya hanya kerana syarikat tidak mampu membayar gaji yang tinggi atau berbaloi kerana mempunyai pengalaman kerja dan sijil yang telah dipertingkatkan.

Mereka lebih rela mengambil graduan muda dan boleh membayar gaji yang lebih rendah yang boleh didapati dengan mudah di pasaran kerja.

Baru-baru ini, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa tidak ramai graduan menganggur di pasaran kerja. Kenyataan daripada seorang Timbalan Menteri itu dilihat amat umum serta tidak menyeluruh.
Bagi graduan ini, asalkan dapat bekerja dan membayar bil serta pinjaman pendidikan sudah cukup berbanding kelulusan dan sijil yang mereka genggam.

Bukan semua tenaga kerja peringkat rendah itu lepasan SPM, malah ada yang mempunyai diploma bahkan ijazah sekalipun demi meneruskan peningkatan hidup yang kian mendesak ini.

Oleh itu, kajian, cadangan dan pelan penambahbaikan perlulah dibuat dan dirancang dengan baik dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan agar semua usaha murni ini pada akhirnya melahirkan satu masyarakat maju dan berpendapatan tinggi sesuai dengan hasrat dan aspirasi kerajaan.

Kajian lapangan serta pelan menyeluruh perlulah disediakan dan dibuat dengan lebih mendalam sebelum berhujah dengan begitu retorik hendaklah difikirkan terlebih dulu.

FAIZAL MUHD FAXEL WEL,
Petaling Jaya.


Rabu, 17 November 2010

MESYUARAT GABUNGAN MAJLIS PRESIDEN DAN SETIAUSAHA KEHORMAT KESATUAN KAKITANGAN UNIVERSITI MALAYSIA (GAKUM) BIL.30

Media GAKUM




Mesyuarat Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (GAKUM) seperti berikut:

Tarikh: 29-30 November 2010
Tempat: Hotel Tabung Haji Bayan Lepas