Rabu, 10 September 2008

PERANAN YANG BOLEH DIMAINKAN OLEH KESATUAN SEKERJA

Hamidon Khalid
(Sarjana Pengurusan, Universiti Malaya)


PENDAHULUAN
Kesatuan sekerja di Malaysia didefinisikan dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 sebagai satu persatuan atau gabungan majikan atau pekerja yang bekerja di Malaysia. Menurut peruntukan akta ini, keahlian sesuatu kesatuan sekerja dalam sektor swasta hendaklah terdiri daripada pekerja atau majikan dalam ketukangan, pekerjaan atau industri yang tertentu atau yang seakan-akan sama . Pekerja-pekerja menyertai kesatuan sekerja kerana mereka sedar bahawa secara kolektif mereka akan berada dalam kedudukan yang membolehkan mereka meminta gaji yang lebih dan syarat-syarat pekerjaan yang lebih baik.
Kesatuan sekerja bukan hanya berminat mengenai kehidupan ahli-ahli mereka semasa waktu bekerja tetapi juga secara meluas menggalakkan kerajaan meluaskan perundangan dan memperkenalkan polisi-polisi yang akan memberi faedah kepada pekerja-pekerja pada amnya. Oleh itu aktiviti-aktiviti kesatuan sekerja mempunyai tiga cabang. Ia memberi tumpuan kepada majikan individu dan layanan majikan terhadap pekerja-pekerja mereka, mengenai isu-isu kebangsaan yang lazim kepada semua majikan dan memberi kesan kepada semua pekerja serta mewakili pekerja-pekerja individu yang memohon bantuan mereka. Rajah 1 di halaman 2 menunjukkan pendekatan tiga serampang ini .
Kesatuan-kesatuan sekerja tersebut dengan dana-dana yang mencukupi juga cuba memberi kemudahan secara langsung kepada ahli-ahli mereka dalam bentuk kursus latihan, biasiswa, kemudahan bercuti dan skim-skim insuran.

PERANAN KESATUAN SEKERJA
Di negara ini, kesatuan sekerja telah memainkan peranannya dengan agak berkesan dalam membela nasib pekerja-pekerja. Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam dan Jabatan Kerajaan (CUEPACS), misalnya, buat pertama kali dalam sejarahnya telah berjaya dalam usaha memperolehi penyelarasan gaji dalam tempoh tiga tahun berbanding sebelum ini yang mengambil masa hampir lima tahun. CUEPACS juga telah mengesyorkan supaya mulai 1996, kerajaan mengenakan tindakan terhadap ketua-ketua jabatan yang membenarkan terlalu banyak kakitangan bercuti panjang semasa musim perayaan hingga menjejaskan urusan pejabat. Turut menjadi harapan CUEPACS ialah tuntutan supaya jadual gaji matriks yang dilaksanakan di bawah skim Sistem Saraan Baru (SSB) dimansuhkan. Namun, di sebalik kejayaan yang sedikit ini, masih banyak lagi ruang di mana kesatuan sekerja boleh berperanan dengan lebih aktif. Isu mengenai hak-hak sama rata pekerja wanita, misalnya masih belum dapat ditangani dengan sewajarnya.

Menangani isu pekerja wanita
Kesatuan sekerja perlu melihat kepentingan peranan wanita dalam pergerakan kesatuan sekerja. Wanita masih lagi kurang dalam jawatan kepimpinan dan kurang dibenarkan mengambil bahagian dalam membuat keputusan terutamanya di peringkat atasan. Oleh itu kesatuan sekerja perlu mencadangkan kepada kerajaan dan majikan-majikan supaya mengiktiraf bahawa hak-hak wanita adalah juga hak-hak asasi manusia. Terdapat kini ramai ibu tunggal yang bekerja yang terpaksa menyara ramai anak. Tibalah masanya kesatuan sekerja menghulurkan bantuan di samping mencadangkan kerajaan supaya menangani isu ibu tunggal itu secara lebih drastik dengan memperkenalkan dan menguatkuasakan undang-undang yang melindungi pekerja wanita daripada keganasan dan penderaan seksual di tempat kerja. Bagi ibu-bapa yang bekerja di tempat yang sama, penyediaan pusat jagaan kanak-kanak diperlukan di tempat kerja supaya hubungan kasih-sayang di antara mereka dapat dijalinkan dalam masa yang lebih panjang.

Penetapan gaji minimum dan gaji maksimum
Terdapat perbezaan yang ketara di antara gaji terendah dalam sektor swasta dan sektor awam meskipun jenis pekerjaan dan deskripsi tugas hampir sama. Kesatuan sekerja boleh berperanan menangani masalah ini dengan meminta kerajaan menetapkan gaji minimum yang melebihi RM650 kerana pendapatan yang kurang daripada itu tidak memungkinkan pekerja di bandar menikmati kehidupan yang selesa berikutan peningkatan kos sara hidup saban tahun. Setakat ini belum ada cadangan daripada pihak kesatuan sekerja mengenakan gaji maksimum ke atas pihak pengurusan. Di Jepun, misalnya, gaji seorang pengurus tidak jauh bezanya dengan gaji seorang pemandu teksi. Dengan itu, perasaan materialistik dan iri hati dapat dikurangkan dan rakyat dapat meningkatkan produktiviti. Kesatuan sekerja boleh menyediakan garis panduan penetapan gaji minimum dan maksimum dengan meminta ahli-ahlinya yang mempunyai taraf akademik yang tinggi menjalankan kajian menentukan keadaan sebenar kedudukan buruh di Malaysia bagi menguatkan sokongan terhadap permintaan itu.

Membantu menangani kegawatan ekonomi
Kesatuan sekerja boleh membantu kerajaan menangani krisis ekonomi yang melanda negara dengan menyertai Jawatankuasa Bertindak NGO Mempertahankan Kedaulatan Ekonomi Negara (Tindakan) dengan meneruskan kempen yang digelar “Belanja Berhemat Kita Selamat” . Cara lain, kesatuan sekerja boleh mengadakan sendiri kempen-kempen menyedarkan ahli-ahlinya mengenai kegawatan ekonomi dan mendorong mereka membeli barangan perlu sahaja selain meningkatkan amalan membeli barang tempatan dan menjimatkan tenaga seperti elektrik, petrol dan air.
Apa yang dikhuatirkan dalam krisis ini ialah majikan membuang pekerja dengan alasan kegawatan ekonomi. Jika hal seperti ini berlaku, kesatuan sekerja boleh mengambil tindakan supaya pampasan yang sewajarnya diperolehi oleh pekerja yang malang itu dan majikan menyediakan pilihan pekerjaan di tempat lain. Isu penamatan pekerja asing pula perlu ditangani dengan adil supaya pihak luar tidak memandang negara ini sebagai hanya pandai menjemput pekerja asing bekerja di sini dan menghalau mereka bila tidak diperlukan.

Mempercepatkan penyelesaian pertikaian perdagangan
Menurut statistik Jabatan Perhubungan Industri bilangan pertikaian perdagangan yang berlaku adalah melebihi 700 kes setiap tahun dan hanya sekitar lebih daripada 500 yang dapat diselesaikan. Oleh kerana itu terdapat lebih kurang 200 kes yang terpaksa dibawa ke tahun berikutnya untuk diselesaikan. Dalam hal ini kesatuan sekerja boleh meminta kerajaan mempercepatkan penyelesaiannya dalam jangka masa singkat dengan mencadangkan penilaian semula dan pindaan jika perlu, kepada Akta Perhubungan Industri 1967.
Peranan dalam Koridor Raya Multimedia Salah satu agenda utama negara ialah mewujudkan masyarakat bermaklumat yang boleh mengguna dan mencipta sistem teknologi maklumat yang boleh meningkatkan keberkesanan pentadbiran kerajaan menerusi kerajaan elektronik, sekolah bistari dan sebagainya. Dalam hal ini, kesatuan sekerja boleh berperanan dengan meminta ahli-ahlinya mendokong cita-cita kerajaan dengan mempelajari komputer dan mendalami pengetahuan tentang teknologi maklumat. Kesatauan sekerja boleh meminta kerajaan menambahkan peruntukan pinjaman membeli komputer dan memberikan subsidi kepada pekerja bawahan yang berpendapatan kecil untuk membeli komputer. Ahli-ahli kesatuan yang berkemahiran dalam penggunaan komputer sewajarnya melatih pekerja-pekerja yang tidak berpengetahuan tentangnya secara sukarela ataupun dengan mengenakan sedikit bayaran.
Pasaran buruh di masa hadapan Dunia kini berubah dengan begitu pantas.Teknologi baru dicipta dan globalisasi telah berlaku hampir di seluruh dunia. Kadar perubahan pantas yang berlaku ini menyebabkan masalah-masalah yang berlaku hari ini tidak lagi boleh diselesaikan dengan kaedah penyelesaian dahulu. Cara produk baru dikeluarkan mengalami perubahan yang besar. Ini bermakna tenaga kerja di pasaran buruh menghadapi cabaran-cabaran baru. Pergerakan kesatuan sekerja harus bertindak sebagai pemandu dalam membantu mewujudkan masyarakat pekerja yang berilmu multifleksibel yang berupaya menukar maklumat kepada ilmu pengetahuan yang boleh digunakan dalam pelbagai cara - untuk pembangunan produk, memasarkannya, menyediakan penjagaan yang lebih baik kepada golongan tua dan sebagainya.
Pekerja yang berilmu akan menjadi sumber terpenting bukan lagi pemilikan modal.
Sumber ini akan dikaitkan dengan individu pekerja. Pekerja-pekerja yang berilmu tidak lagi dibayar mengikut jam tetapi berdasarkan bagaimana kreatifnya mereka menjalankan sesuatu tugas. Dalam hal ini, kesatuan sekerja boleh berperanan dengan meminta majikan meyediakan peluang-peluang yang lebih bagi pekerja melanjutkan pelajaran ke universiti dan menghantar mereka berkursus supaya dapat menyerap pengetahuan mengenai teknologi-teknologi baru. Dalam pasaran buruh masa hadapan, semua pekerja diharapkan berkebolehan
(1) menjalankan pelbagai tugas,
(2) berkomunikasi secara lisan atau tulisan,
(3) mengambil risiko dan inisiatif,
(4) menggunakan teknologi maklumat,
(5) lebih bertanggungjawab dan berdikari,
(6) mengutamakan keselamatan di tempat kerja,
(7) lebih fleksibel terhadap waktu bekerja,
(8) sentiasa memikirkan kualiti dan
(9) berfikir dan bertindak secara kreatif.

RUMUSAN
Satu kesimpulan yang boleh dibuat ialah peranan kesatuan sekerja adalah penting dalam menjaga kepentingan tiga pihak iaitu pekerja, majikan dan kerajaan bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup supaya negara dapat membangun dengan pantas dalam merealisasikan wawasannya. Pergerakan kesatuan sekerja berpendapat bahawa pekerja-pekerja bukan semata-mata faktor pengeluaran. Mereka sewajarnya dihargai sebagai rakan kemajuan dan perlu dilayan berdasarkan pengiktirafan dan status mereka dalam masyarakat. Kesatuan sekerja berharap kerajaan dan majikan tidak meminta kesatuan sekerja menjadi rakan hanya pada waktu-waktu sukar dan mengenepikan atau mengabaikan pekerja-pekerja apabila keadaan ekonomi memuncak. Walau bagaimanapun untuk menjayakannya, semua kesatuan sekerja yang wujud di negara ini perlulah bersatupadu dan mengelakkan pertelingkahan sebagaimana yang terjadi dalam perlantikan wakil ke persidangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) seperti tahun-tahun sebelumnya. MTUC, CUEPACS dan Pertubuhan Buruh Malaysia (MLO) masing-masing berebut peluang untuk menjadi wakil Malaysia ke persidangan tersebut sedangkan urusan perlantikan wakil ke persidangan itu terletak pada budi bicara Menteri Sumber Manusia.

Tiada ulasan: