Khamis, 21 Februari 2013

PENJAWAT AWAM BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN BERPOLITIK TANPA KEBENARAN

Bernama
21/2/2013

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Penjawat awam yang didapati terlibat dengan kegiatan politik tanpa kebenaran daripada ketua jabatan ataupun berpolitik dalam waktu kerja boleh dikenakan tindakan tatatertib, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengeluarkan Pekeliling yang membenarkan kumpulan pelaksana iaitu dari Gred 1 hingga Gred 40 terlibat di dalam politik dan mereka perlu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan di dalam pekeliling tersebut.

Syarat-syarat tersebut antaranya mesti mendapat kebenaran daripada Ketua Jabatan dan berpolitik selepas waktu pejabat.

"Kalau ada kes (yang melanggar syarat tersebut), kita patut bertindak di atas maklumat yang tepat, tidak boleh bertindak atas dasar orang kata itu, orang kata ini," katanya dalam sesi soal jawab pada perhimpunan khas bersama pemimpin Cuepacs di sini Khamis.

Seorang wakil Kedah mencadangkan agar kerajaan mengambil tindakan segera ke atas penjawat awam yang terlibat secara langsung dalam politik pembangkang kerana ia dilihat sebagai satu pengkhianatan kepada sektor awam.

Muhyiddin berkata laporan yang lengkap dengan maklumat yang tepat perlu dikemukakan kepada JPA untuk siasatan sebelum sebarang tindakan dikenakan.

"Untuk menentukan ada asas keadilan dalam tindakan kita, jika benar-benar mereka lakukan mesti ada laporan, JPA dan bahagian tatatertib mesti berpandukan kepada laporan, itupun tidak semestinya diterima bulat-bulat," katanya.

Beliau berkata ia penting supaya apabila sesuatu tindakan diputuskan ke atas penjawat awam yang melanggar syarat tersebut, ia tidak dianggap sebagai satu penganiayaan kepada mereka.

"Apa pun mesti berpandukan kepada Pekeliling dan maklumat yang tepat yang ada sebelum tindakan diambil," katanya.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata adalah lebih baik untuk penjawat awam menumpukan perhatian terhadap tugas mereka selain berpolitik.

"Kita sudah tandatangan akujanji, jadi lebih baik tumpu agenda penjawat awam, kalau nak berpolitik juga, minta kebenaran, jangan berpolitik pada waktu kerja," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, bercakap di hadapan 3,000 pemimpin Cuepacs seluruh negara, Muhyiddin berkata kerajaan tidak mungkin dapat melaksanakan segala keperluan dan hajat rakyat tanpa perjuangan dan sumbangan daripada penjawat awam.

"Ini kerana, saudaralah yang menjadi tonggak yang telah dapat memikul amanah menterjemahkan dasar kerajaan supaya rakyat dapat menerima kesannya dan keadaan mereka bertambah lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata dengan sumbangan penjawat awam di seluruh negara, kerajaan mencatat banyak kemajuan dan dapat meletakkan negara dalam keadaan yang cukup baik serta diiktiraf antara negara membangun yang paling maju.

"Hal ini berlaku kerana adanya persefahaman dan kesediaan saudara bersama dengan pemimpin untuk memikul tugas yang berat, ini bukan mudah untuk kita laksanakan tugas dan tanggungjawab kita kerana di hadapan kita mempunyai sejumlah lebih 28 juta rakyat semuanya mempunyai aspirasi dan mahu kerajaan membuat sesuatu untuk menambah baik kehidupan mereka.

"Mereka mahu lebih berjaya, mereka mahu hidup dalam keadaan lebih selesa dan harapan yang mereka letakkan adalah pada pihak pimpinan kerajaan, kerajaan harus boleh berbuat sesuatu untuk memperbaiki kehidupan mereka," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: