Isnin, 26 Oktober 2009

KERJASAMA KOLEKTIF PERKASAKAN IPT

Utusan Malaysia
Oleh MOHD. KHUZAIRI
ISMAILrencana@utusan.com.my
26/10/2009




UMUMNYA dalam memperkatakan tentang kualiti sesebuah universiti atau institusi pengajian tinggi (IPT), kita sering terikat dengan penarafan yang dibuat oleh Times Higher Education Supplement (THES-QS).
Mengambil contoh kedudukan Universiti Malaya (UM), universiti tertua negara itu misalnya kini berada di kedudukan 180 terbaik di dunia dan 38 terbaik di Asia.
Bagaimanapun skop penarafan itu sebenarnya lebih menjurus kepada penilaian terhadap tenaga akademik antaranya jumlah karya ilmiah yang dihasilkan dan diterbitkan di jurnal-jurnal antarabangsa.
Hakikatnya, keunggulan sesebuah IPT juga banyak bergantung kepada kekuatan tenaga pentadbir dan kakitangan sokongan. Kedua-dua kumpulan ini menjadi tulang belakang utama kepada sesebuah IPT menerusi peranan mereka dari sudut kepimpinan, tadbir urus dan pengurusan yang berwawasan serta berkesan.
Justeru, selain daripada tenaga akademik, kumpulan pentadbir dan kakitangan sokongan ini juga perlu diberikan penekanan dalam pembangunan modal insan dengan minda kelas pertama.
Perkara ini juga selaras dengan pelan strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang telah menggariskan lima teras yang memberi fokus kepada urus tadbir, kepimpinan, ahli akademi, pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan pembangunan.
Penekanan ke arah itu juga membawa kepada berlangsungnya Persidangan Kebangsaan Pengurusan Kepimpinan bertemakan Transformasi Kepimpinan Menjulang Kualiti Pengajian Tinggi di ibu negara, bermula semalam hingga esok.
Persidangan yang julung-julung kali diadakan itu merupakan anjuran Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/ IPTA Malaysia (GAKUM) dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dan KPT.
Ia disertai oleh kakitangan penjawat awam dan kakitangan IPT khususnya di peringkat pengurusan dan profesional serta kakitangan sokongan I dan II. Persidangan ini lebih kepada sesi pembentangan dan membahaskan kertas kerja dalam bidang kepimpinan, tadbir urus, modal insan, sosioekonomi, nilai-nilai murni, pengurusan, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia.
Pada akhirnya, persidangan ini diharapkan dapat memantapkan tadbir urus dalam pengurusan dan penyampaian agar melahirkan kakitangan yang berintegriti. Ia juga mempunyai objektif untuk melahirkan generasi pemimpin yang berkualiti, holistik dalam pembangunan pengetahuan, berkemahiran, intelektual, berdaya saing dan kreatif serta inovatif.
Bagi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, semua kumpulan kakitangan perlu memainkan peranan selaras dengan bidang tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam usaha memperkasakan universiti.
Dalam era globalisasi ini juga katanya, IPT yang cemerlang boleh dikenal pasti melalui kepimpinan yang berwibawa, penjanaan budaya kreatif manakala ahli akademiknya disanjung seluruh dunia.
IPT yang cemerlang jua kerap diminta membantu dan menjadi bahan rujukan kepada pemimpin negara, pihak industri dan para intelek dunia. Justeru tambah beliau, insentif yang menarik, perundangan dasar dan tadbir urus terbaik perlu diwujudkan sebagai landasan mencapai kecemerlangan.
"Kita perlu memiliki kemahiran yang bersesuaian bagi menghadapi cabaran semasa. Tenaga kerja yang relevan adalah satu daripada cabaran terbesar yang dihadapi oleh perkhidmatan awam masa kini. Hanya dengan mengekalkan relevan ini, maka barulah dapat kita mengekalkan monopoli kita sebagai penggubal dasar, penasihat dan pelaksana dasar-dasar kerajaan dalam aspek sosial, ekonomi dan keselamatan," katanya.
Menurut Mohamed Khaled, cabaran besar warga IPT hari ini adalah untuk menukarkan cara bekerja daripada menjalankan tugas-tugas rutin kepada peranan yang lebih besar. Antaranya sebagai pekerja berilmu yang sentiasa kreatif dan inovatif dalam menangani cabaran-cabaran baru serta mampu meramal perubahan-perubahan yang bakal berlaku.
Pekerja berilmu juga berani membuat pertimbangan dan keputusan serta sanggup menghadapi risiko. Pada masa depan pula ujar beliau, IPT berdepan dengan cabaran mengekalkan tadbir urus yang baik dalam suasana yang berubah-ubah di samping menghadapi persaingan terutamanya di peringkat antarabangsa.
Selain itu, cabaran dan ancaman globalisasi ketika ini juga kian menjadi nyata. Justeru, daya saing negara perlu dipertingkatkan melalui usaha-usaha meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan integriti yang merupakan ciri-ciri utama bagi tadbir urus yang baik.
Kepimpinan transformasi katanya, merupakan satu bentuk kepimpinan yang didakwa dapat meningkatkan prestasi pekerja. Kepimpinan itu bertujuan untuk mengubah, mencipta wawasan dan membimbing pekerja kepada perubahan. Kepimpinan transformasi memberi tumpuan kepada pembangunan pekerja yang akhirnya membawa kepada peningkatan prestasi pekerja.
Justeru ujar beliau, persidangan itu adalah medan yang sesuai untuk setiap kumpulan perjawatan di IPT mentransformasikan kepemimpinan dalam diri masing-masing agar mencapai budaya kerja cemerlang bagi menjulang kualiti pengajian tinggi. Dialog berterusan dengan pihak berkepentingan khususnya pihak majikan perlu bagi mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni dan kondusif serta menambah baik sistem penyampaian.
"Komunikasi dua hala yang menekankan kepada nilai murni seperti amanah, benar, adil, telus dan bersyukur juga perlu dijadikan nilai induk kepada semua warga IPT," ujar beliau.
Dalam memantapkan kepimpinan kumpulan sokongan, pengurusan profesional, akademik dan pengurusan tertinggi juga tambah Khaled Nordin, IPT perlu membudayakan sifat profesionalisme serta intelektualisme di kalangan warganya dan menangani kerenah birokrasi dalaman.
Prosedur yang tidak relevan yang boleh menjejaskan prestasi perlu disemak semula. Ia bagi memastikan kualiti IPT tempatan setanding dengan universiti terbaik di dunia dengan membangunkan kurikulum yang relevan, mempergiatkan aktiviti penyelidikan serta mendapat perkhidmatan daripada ahli akademik yang cemerlang.

1 ulasan:

FAST LOAN OFFER whats-App +918929509036 berkata...

Do you need Finance? Are you looking for Finance? Are you looking for finance to enlarge your business? We help individuals and companies to obtain finance for business expanding and to setup a new business ranging any amount. Get finance at affordable interest rate of 3%, Do you need this finance for business and to clear your bills? Then send us an email now for more information contact us now via (financialserviceoffer876@gmail.com) whats-App +918929509036 Dr James Eric Finance Pvt Ltd Thanks