GABUNGAN Majlis Presiden Dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (GAKUM) membidas tindakan Kementerian Pendidikan yang memecat pengerusi serta ahli lembaga pengarah di lima universiti awam (UA) baru-baru ini.
Presiden GAKUM, Zulkifli Moham
ad berkata, keputusan kementerian menamatkan perkhidmatan beberapa individu berkenaan adalah tidak adil dan tergesa-gesa, kerana sebahagian besar daripada mereka adalah ahli akademik yang langsung tidak terbabit dalam politik.
Katanya, tindakan tergesa-gesa itu bukan saja menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga universiti, malah menyebabkan urusan dan perjalanan harian serta kebajikan kakitangan terganggu.
“Kita bersimpati terhadap apa yang berlaku kerana mereka ini kebanyakannya adalah ahli akademik yang punyai kepakaran tersendiri serta tak terbabit dalam politik.
“Sebaliknya, mereka ini hanya dilantik oleh pihak sebelum ini. Dengan berlakunya pemecatan ini, pentadbiran universiti serta kebajikan kumpulan pelaksana terganggu.
“Kami menerima aduan daripada semua 20 UA yang risau dan tidak selesa untuk menjalankan tugas dalam keadaan sekarang.
“Sehubungan itu, kami menggesa Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik melihat semula keputusan yang dibuat ini dan GAKUM berharap tindakan penamatan perkhidmatan ini dihentikan buat sementara waktu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat khas GAKUM di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, hari ini.
Turut hadir, Penasihat GAKUM yang juga bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.
Sebelum ini, portal berita melaporkan mengenai penamatan kontrak pengerusi lima UA , selain beberapa ahli lembaga pengarah.
Portal itu melaporkan, antara yang terbabit adalah Tun Zaki Azmi dari Universiti Malaysia Sabah, Tan Sri Sufri Mohd Zin dari Universiti Tun Hussein Onn, Datuk Dr Kamaruddin Hussin dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Tan Sri Noorul Ainur Mohd Noor dari Universiti Sains Malaysia, dan Tan Sri Anuwar Ali dari UPM.
Maszlee kemudian dilaporkan mengakui penamatan perkhidmatan itu dibuat kerana mereka adalah lantikan politik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), selain bagi memastikan proses reformasi institusi yang dibawa Pakatan Harapan (PH) tidak terganggu.
Zulkifli berkata, kementerian perlu segera menggantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah yang ditamatkan perkhidmatan bagi memastikan urusan universiti tidak terus terganggu, manakala keputusan mengenai pemecatan perlu dibincangkan bersama GAKUM terlebih dahulu.
Dalam pada itu, GAKUM turut memohon pertemuan pihaknya dengan Maszlee dapat diadakan segera bagi membincangkan beberapa perkara berbangkit, khususnya mengenai kepentingan peranan kesatuan itu.
“Kami sudah menghantar surat kepada pihak menteri kira-kira sebulan lalu, tapi belum mendapat sebarang balasan sehingga hari ini.
“GAKUM harap pertemuan ini dibuat secepat mungkin untuk meminta penjelasan dan pandangan dalam tindakan tertentu kementerian yang menimbulkan kegelisahan dan tohamahan pihak luar,” katanya.