Rabu, 20 April 2011

GAJI BARU ATASI MASALAH KERJA SAMBILAN

Metro Harian
19/4/2011



JOHOR BAHRU: Bimbang kakitangan awam melakukan kerja sambilan kerana berasakan gaji diterima tidak mencukupi, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan mempertimbangkan kumpulan yang berada dalam Gred 1 hingga 16 diserap ke Gred 17 bagi menikmati gaji lebih baik.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ketika ini pekerja awam berkelulusan PMR ke bawah ditempatkan di dalam gred Gred 1 hingga 16 dan mereka dibayar gaji permulaan kira-kira RM647.


Katanya, disebabkan peningkatan kos hidup sejak kebelakangan ini ramai di kalangan kakitangan kerajaan terbabit dikhuatiri bekerja sambilan sekali gus boleh menjejaskan produktiviti.

“Kita tidak mahu terlalu ramai kakitangan kerajaan buat kerja sambilan kerana rakyat dan pelanggan akan mempertikaikannya.


“Kita mahu mereka fokus kepada kerja, kita tidak mahu lihat selepas ‘punch card’ mereka terus buat kerja sambilan kerana bimbang tidak cukup duit.


“Cuepacs tidak mahu lagi ada kakitangan awam pemegang sijil PMR, kita mahu semua minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mahu kakitangan Gred A. “Sekarang ini, seorang pemandu pun sudah ada SPM, banyak jabatan sudah naik taraf gred penjawat awam seperti tukang masak, operator sistem dan operator telefon,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan bagi menerangkan isu semasa kongres berkenaan Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (Gakum) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).



Menurutnya, ketika ini seramai 650,000 penjawat awam berada dalam Gred 1 hingga 16 merangkumi pelbagai jawatan dalam kementerian dan jika mereka diserap ke gred 17, mereka boleh menerima gaji permulaan dicampur elaun sebanyak kira-kira RM900. “Pendapatan gred 1-16 di bawah RM3,000 sebulan, ia hanya cukup makan dan sekiranya mereka berkhidmat selama 25 tahun baru boleh mencecah RM3,000.


“Jika mereka terus ditempatkan pada Gred 17, gaji permulaan mereka ialah kira-kira RM820 sebulan dan boleh mencapai hingga RM3,500 sebelum bersara,” katanya.


Cuepacs bulan lalu mengemukakan lima tuntutan baru

kepada JPA termasuk penghapusan Gred 1 hingga 16 bagi membolehkan penjawat awam terus ditempatkan ke Gred 17 dengan gaji RM820 sebulan (ketika ini) atau RM920 jika cadangan gaji minimum dikemukakan kepada JPA, 1 Julai 2007 dipersetujui kerajaan dalam kajian semula Skim Saraan Malaysia (SSM).


Omar berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan tuntutan itu dan menjadi hadiah bermakna buat penjawat awam menjelang sambutan Hari Pekerja, 1 Mei depan. Sementara itu, dalam perkembangan pekerja kontrak, Omar menyeru jabatan kerajaan tidak membuang pekerja terbabit kerana ia sesuatu yang tidak adil kerana sebahagian daripada mereka berkhidmat lebih daripada 10 tahun.


Katanya, ketika ini seramai kira-kira 45,000 kakitangan kontrak berkhidmat di semua agensi kerajaan dan ada di antara mereka sudah berkhidmat antara 10 hingga 20 tahun

Sabtu, 16 April 2011

BENGKEL PEMURNIAN SKIM SARAAN UNIVERSITI (SSU) DAN MESYUARAT KHAS GAKUM

Media Gakum
17/4/2011



UTM Skudai -Bengkel pemurnian Skim Sistem Saraaan Universiti diadakan di Dewan Banquet mulai 16-18 April 2011. Seramai 80 peserta dari seluruh IPTA Malaysia hadir bagi menyiapkan kertas kerja Sistem Saraan Universiti. Dato' Haji Omar Osman Pengerusi GAKUM merangkap Presiden Cuepacs mengetuai bengkel bengkel pemurnian ini.